Tentang
Air Terjun Berdebu merupakan salah satu destinasi eko-pelancongan utama di wilayah ini, sesuai untuk penggemar hiking dan pencinta alam semula jadi. Air terjun ini terkenal dengan percikan air halus seperti debu yang berterbangan, menghasilkan panorama memukau seakan berada di alam fantasi.
Suasana ketenangan dan kedamaian di kawasan ini pasti memikat pengunjung. Kehijauan hutan yang masih terpelihara menampilkan kepelbagaian flora dan fauna, sementara bunyi unggas yang bersahut-sahutan menyambut kedatangan pengunjung. Tempat ini juga sesuai untuk penggemar fotografi dan swafoto, menawarkan latar belakang semula jadi yang indah.
Selain bersantai, pengunjung boleh mandi-manda atau berenang di kawasan air yang jernih dan sejuk. Kawasan ini juga menjadi lokasi menarik untuk kaki pancing, dengan pelbagai spesis ikan air tawar seperti kelah dan tengas.
Pengunjung dinasihatkan sentiasa mengikuti arahan Juru Arah kerana kawasan ini dihuni haiwan liar, serta permukaan batu yang berlumut dan licin. Kolam di bawah air terjun adalah luas, dalam dan berombak, menjadikannya tidak sesuai untuk mandi di sesetengah kawasan.
Kebersihan dan kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab setiap pengunjung bagi memastikan keseimbangan ekosistem terpelihara dan flora serta fauna dapat dinikmati generasi akan datang.