Tentang
Bukit Besi Agro-Exotic Farm yang terletak di Bandar Bukit Besi, Terengganu merupakan sebuah taman pertanian berkonsepkan kampung yang menempatkan pelbagai jenis haiwan eksotik. Lokasi ini terletak berhampiran Taman Rekreasi Tasik Puteri dan mudah diakses oleh pengunjung.
Bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak RM3.00 bagi dewasa dan RM2.00 bagi kanak-kanak berumur antara 4 hingga 12 tahun. Kawasan ini memancarkan suasana desa yang tenang dengan bunyi aliran air dari bukit-bukit di sekitarnya, sekali gus memberikan pengalaman santai dan mendamaikan kepada pengunjung.
Di sini, pengunjung turut didedahkan kepada pembelajaran berkaitan pengurusan ladang serta penjagaan haiwan eksotik seperti landak dan rusa yang memerlukan penjagaan serta rawatan rapi. Selain itu, Bukit Besi Agro-Exotic Farm juga menyediakan kemudahan riadah menarik seperti Mini Zoo dan Taman Tema Air yang berkonsepkan “kampung dan suasana pinggir hutan”.
Tempat ini beroperasi setiap hari dan sesuai dikunjungi oleh semua peringkat umur kerana menawarkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk kolam mandi bersama gelongsor air Soopa Doopa. Aktiviti memancing ikan air tawar juga disediakan dengan kadar bayaran RM5.00 bagi setiap joran.
Peringatan: Keselamatan diri dan keluarga adalah tanggungjawab setiap pengunjung.